Rasullullah SAW bersabda “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang sedang musafir” ,(HR Bukhari). “Untuk  apa dunia itu bagiku?, aku di dunia tidak lebih dari seorang pengembara  yang berteduh di bawah pohon, kemudian pergi dan meninggalkannya” (HR At-Tirmidzi)
Manusia  merupakan makhluk terakhir yang diciptakan Allah SWT setelah sebelumnya  Allah SWT telah menciptakan makhluk lain seperti malaikat, jin, bumi,  langit dan seisinya. Allah SWT menciptakan manusia dengan persiapan  untuk dijadikan makhluk yang paling sempurna kerana manusia diciptakan  untuk menjadi khalifah (pemimpin) di muka bumi dan memakmurkannya
Kehidupan  manusia merupakan perjalanan panjang yang memenatkan, penuh liku ranjau  yang berduri dan kadangkala penuh kebahagian dan kemanisan yang tak  mungkin di lupa dan dielakkan. Namun dalam merentas kehidupan dari tahap  demi tahap, peringkat demi peringkat manusia atau khalifah mulia di  dunia ini kadangkala leka dengan kepenatan, leka dengan kemanisan  kebahagian dan kegembiraan sehingga kadangkala kehidupan di tempuh  dengan pelbagai cara dan kaedah yang hanya mementingkan keduniaan yang  sementara.
Setiap  abad berlalu, manusia di kirim oleh Allah SWT dengan Rasul dan Nabi  yang menjadi pemimpin dan ikutan untuk meneruskan kehidupan yang  sempurna dan berakhlak mulia. Akhlak mulia dan cara kehidupan yang  bermoral dan berakidah yang ditonjolkan oleh Rasullullah SAW adalah  merupakan contoh dan ikutan yang terbaik yang harus diikuti oleh manusia  di abad ini.  
Risalah  Muhammad Rasulullah SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia  mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga  fakulti iaitu rohi, ‘aqli dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu  dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk  melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai khalifah  Allah SWT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan  kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak  mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak oleh itu Al Quran diturunkan oleh  Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW berfungsi untuk memberikan pedoman  bagi umat manusia dalam merentas kehidupan di dunia ini dan juga  persiapan kehidupan di akhirat. Namun malangnya tidak semua manusia yang  sedar malah untuk memperaktikkannya melalui kehidupan seharian.
Kemodenan  dan tuntutan hidup kadangkala memaksa manusia untuk melakukan apa  sahaja demi mencapai keselesaan dalam kehidupan mahupun dari segi harta,  pangkat dan darjat. Sehingga etika kehidupan yang sebenar dan akhlak  yang baik di anggap sebagai penghalang untuk mencapai apa yang di  hajati.  
Manusia  diperingkat awal remaja haruslah di dedahkan dengan pengajaran agama  yang cukup untuk dijadikan sebagai tapak akhlak yang kukuh untuk  menyediakan diri mereka dalam menghadapi pelbagai dugaan dan kemungkinan  dalam mengharungi zaman pembesaran seterusnya di praktikkan dalam  kehidupan berkeluarga dan kehidupan dalam masyarakat.
Kehidupan  yang ditempuh dari peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa,  institusi keluarga dan masyarakat akan melalui proses yang berlainan,  undang-undang atau peraturan yang berbeza. Peringkat demi peringkat  melalui saluran yang betul, amalan yang di berkati dan Jalan yang  diredhai akan menghasilkan manusia yang layak di gelar Khalifah yang  mulia di dunia.
Kita  mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai  falsafah dan konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan  itu, dalam perlaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai  cara-cara penyelesaian tersendiri pula. 
Adalah  tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu  untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada  perlaksanaan undang-undang  yang lain. 
Islam  adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk  berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki  mencakup seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar  tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da’wah  Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan berpandukan sumber  wahyu Allah SWT. sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan  undang-undang dan peraturan Islam, maka  dikala itu logik dan adillah  Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang  timbul.
Aspek  yang paling mudah dan senang untuk di jadikan amalan dan ikutan adalah  melalui akhlak Rasullulah SAW sendiri melalui hadis-hadis dan  sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan oleh nya.
Daripada  Zaid bin Thabit katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:  "Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada  kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa  ramai orang yang membawa ilmu lalu menyampaikannya kepada orang yang  lebih faham daripadanya dan berapa ramai orang yang membawa ilmu tetapi  ia tidak memahaminya." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan  Ibn Majah) 
Hadis  di atas jelas menunjukkan bahawa amalan dan penyampaian yang baik harus  di laksanakan dalam menjalani kehidupan seharian.Setiap aspek dan sudut  kehidupan harus berpandukan dari hadis dan sunnah yang berpadanan dan  kena pada tempatnya.
Ilmu  hadis adalah ilmu yang mulia kerana ia merupakan penghubung antara kita  dengan Rasulullah s.a.w. Segala perkara yang berkaitan dengan  Rasulullah s.a.w. sama ada ucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat akan  diketahui bagi sesiapa yang melibatkan diri dengan ilmu hadis. Dengan  mempelajari ilmu ini, kita dapat mengenal pasti kesahihan sesuatu  perkara yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. Sebaliknya, jika tidak  ada ketelitian dan kecermatan, pasti akan mendapat ancaman dan amaran  daripada baginda.
Daripada  Hafs bin ‘Asim katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Cukup bagi  seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia  dengar". (Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Daripada  al-Mughirah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:  "Sesungguhnya berdusta atas namaku bukan seperti berdusta atas nama  salah seorang kamu. Maka sesiapa dengan sengaja berdusta atas namaku,  hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain  itu, hadis di atas juga mengisyaratkan beberapa kaedah yang mesti  dijaga dalam periwayatan hadis. Pertama, memastikan kesahihan berita  yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bukanlah setiap yang dikaitkan  dengan baginda boleh diterima terus tanpa diselidiki. Ia mestilah  dikaji dan dinilai mengikut kaedah riwayah dan dirayah.
Kedua,  mendengar dengan penuh perhatian supaya lafaz asal dijaga dan diingati.  Setiap lafaz perlu diteliti kerana kesilapan lafaz boleh membawa kepada  perubahan makna yang membawa kepada berlakunya tashif. Tashif adalah kesilapan yang dilakukan oleh perawi dalam menerima dan menyampaikan hadis yang menyebabkan hadis menjadi dha`if. 
Ketiga,  setiap hadis yang dipelajari mestilah disampaikan kerana di kalangan  yang mendengar itu ada yang mempunyai kefahaman yang lebih dan hadis itu  dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kefahaman tentang hadis  termasuklah mengkaji dan merenung maksud-maksudnya serta menyimpulkan  hukum dan pengajaran daripadanya. Seseorang yang mempelajari hadis akan  sentiasa menyesuaikan dirinya dengan sunnah dan petunjuk Rasulullah  s.a.w. Dia menyedari bahawa setiap aspek kehidupannya akan ada kaitan  dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana keperibadian Rasulullah s.a.w. bukan  setakat rasul membawa risalah Allah tetapi meliputi tanggungjawab  sebagai guru, pendidik, pemimpin, hakim, panglima tentera, ketua  keluarga, suami, bapa, datuk, jiran tetangga, sahabat kepada temannya.  Justeru, amat wajarlah, kita mempelajari sunnah Rasulullah s.a.w. kerana  tugas hidup setiap individu tidak terlepas satupun daripada aspek di  atas. Berdasarkan kepada hakikat inilah Allah s.w.t. menitahkan kepada  kita supaya menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan.
 Mengapa kehidupan bercahaya dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.? 
Rasulullah  s.a.w. sendiri adalah cahaya. Allah s.w.t. menyifatkan baginda sebagai  cahaya petunjuk dan juga pembawa rahmat. Pengutusan baginda bersifat  dengan cahaya lantaran al-Qur’an yang baginda diperintahkan supaya  menjelaskannya kepada umat adalah cahaya. Allah s.w.t. berfirman:
Wahai  Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad,  s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari  (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari  Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak  perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu  cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran)  yang jelas nyata keterangannya. 
Dengan  (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta  kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya)  Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman)  yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan  menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (al-Maidah 15-16)
Lafaz-lafaz  hadis yang dibaca dan didengar lalu diulang-ulang akan menghasilkan  pancaran cahaya dalam kehidupan seseorang. Mengapa tidak berlaku  demikian sedangkan tugas Rasulullah s.a.w. adalah untuk menjelaskan  maksud al-Qur’an yang datang dari Allah yang memberikan cahaya kepada  alam semesta. Dialah yang menciptakan cahaya dan dari-Nya datangnya  cahaya itu.
Sejarah  mencatatkan pengalaman ulama hadis yang hidup mereka sentiasa diberkati  Allah kerana seluruh hidup mereka diabadikan untuk mengumpulkan  hadis-hadis dan menghuraikannya. Walaupun hidup dalam keadaan kesukaran  dan kesempitan, hati mereka sentiasa tenang. Tidak lain dan tidak bukan  kerana yakin, mengharapkan dan menanti ganjaran pahala di akhirat.
Nabi  Muhammad s.a.w. pernah bersabda:"Kezuhudan merupakan pertaruhan bagi  seorang mukmin." Baginda s.a.w. pernah berkata:"Allah s.w.t. telah  menawarkan kepadaku hendak menukarkan bukit-bukau diMekah menjadi emas  tetapi aku menadahkan tangan ku kepadaNya sambil berkata:"Ya Allah, aku  suka makan pada satu hari dan berlapar pada hari berikutnya supaya aku  dapat mengingatiMu apabila lapar dan memuji-mujiMu serta mensyukuriMu  apabila kenyang."
Pada  suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w.telah berpisah selama sebulan daripada  isteri-isterinya kerana salah seorang daripada mereka telah menyinggung  perasaannya. Selama sebulan Baginda s.a.w.  tinggal berseorangan dalam  sebuah bilik. Suatu khabar angin yang tersebar dikalangan para sahabat  mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. telah menceraikan isteri-isteri Baginda  s.a.w.. 
Apabila  Umar r.a.hu mendengar berita angin tersebut, dia pun berlari-lari  kemasjid. Setibanya dia dimasjid ia dapati sahabat-sahabat Nabi Muhammad  s.a.w. sedang duduk termenung dan kesedihan jelas terbayang diwajah  mereka. Meninggalkan mereka,Umar r.a.hu berjalan pula kerumah anaknya  Hafsah yang menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w.Dia mendapati Hafsah  menangis-nangis didalam biliknya. Dia bertanya:"Mengapa kamu menangis?  Bukankah selama ini aku telah melarang kamu supaya jangan melakukan  sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan Nabi Muhammad s.a.w.?"
 Kemudian  dia berjalan kemasjid sekali lagi. Kelihatan olehnya beberapa orang  sahabat sedang menangis berdekatan dengan mimbar.Disini dia duduk  bersama-sama sahabat yang lainnya tetapi oleh kerana terlalu sedih dia  bangun lalu berjalan kearah bilik  Nabi Muhammad s.a.w. yang terletak  ditingkat atas masjid itu. Dia mendapati Rabiah, seorang hamba, sedang  menduduki tangga bilik itu. Melalui Rabiah, dia meminta izin hendak  berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi  Muhammad s.a.w.tidak melahirkan sepatah katapun sebagai menjawab  permintaannya. Permintaannya untuk menemui Nabi Muhammad s.a.w.dibuat  beberapa kali dan hanya pada kali yang ketiga sahaja Nabi Muhammad  s.a.w. mengizinkan dia naik. Apabila ia masuk, ia dapati Nabi Muhammad  s.a.w. sedang berbaring diatas sekeping tikar yang diperbuat daripada  daun pokok tamar. Kesan-kesan tikar itu jelas kelihatan berbekas dibadan  Nabi Muhammad s.a.w.Berdekatan dengan Baginda s.a.w. terdapat sebuah  bantal yang diperbuat daripada kulit binatang dan yang disumbat dengan  kulit-kulit pohon tamar.
                        Umar r.a.hu bercerita:
"Saya  menyampaikan salam kepadanya lalu bertanya: 'Sudahkah Tuan menceraikan  isteri-isteri Tuan?" Baginda s.a.w. menafikan perkara itu. Saya merasa  agak lega sedikit dan sambil berseloroh saya mengatakan:"Ya Rasulullah,  kita kaum Quraish selamanya telah menguasai wanita-wanita kita tetapi  keadaan berlainan sungguh dengan orang-orang Ansar. Mereka dikuasai  wanita-wanita mereka sehingga wanita-wanita kita telah terpengaruh."  Nabi Muhammad s.a.w.. tersenyum mendengar kata-kata saya yang agak lucu  itu. Selepas itu saya memerhati keadaan didalam bilik itu. Saya lihat  ada tiga keping kulit binatang yang telah disamak dan sedikit barli  disuatu sudut. Selain dari itu tidak ada sesuatu apa pun. Saya lalu  menangis. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya:"Mengapa kamu menangis?" Saya  menjawab:"Betapa tidak, Ya Rasulullah, saya sedih melihat bekas-bekas  tikar yang Tuan tiduri dibadan Tuan dan sedih melihat keadaan bilik ini.  Semuga Allah s.w.t. mengurniakan Tuan dengan bekalan-bekalan yang lebih  banyak. Orang-orang Parsi dan Rumawi yang tidak menyembah Allah s.w.t.  mempunyai raja yang mewah. Mereka hidup ditaman yang ditengah-tengahnya  mengalir anak-anak sungai sedangkan Pesuruh Allah s.w.t. hidup didalam  keadaan serba miskin."
Semasa  saya mengeluarkan kata-kata tadi, Nabi Muhammad s.a.w.. sedang  bersandar dibantal, Baginda s.a.w. lantas bangun dengan serta merta dan  berkata:"Wahai Umar, nampaknya kamu masih didalam keraguan. Kesenangan  dan keselesaan hidup yang bakal kita perolehi diakhirat nanti sudah  tentu lebih baik daripada apa yang terdapat didunia ini. Kalau didunia  ini mereka hidup senang dan mewah, keadaan akan berubah diakhirat kelak.  Disana kita yang akan menikmati segala-galanya."Mendengar kata-kata  Nabi Muhammad s.a.w.saya berasa kesal lalu berkata:"Ya Rasulullah,  berdoalah kepada Allah s.w.t. agar Dia mengampuni saya. Saya telah  bersalah didalam hal ini." 
Seorang  hamba Allah telah bertanya kepada Aishah mengenai tikar bantal Nabi  Muhammad s.a.w. Jawab Aishah:"Ianya terdiri dari sebuah bantal yang  diperbuat daripada kulit binatang yang diisikan dengan kulit-kulit pohon  tamar." Soalan yang sama dikemukakan kepada Hafshah. Dia  menjawab:"Ianya terdiri dari sehelai kain tarpal yang dilipat dua. Pada  suatu hari, untuk memberi keselesaan kepada Nabi Muhammad s.a.w.saya  telah menghamparkan kain itu berlipat empat. Pada esok paginya itu Nabi  Muhammad s.a.w. bertanya:"Apakah yang awak hamparkan untuk saya malam  tadi?" Saya menjawab:"Kain yang sama tetapi berlainan lipatannya." Nabi  Muhammad s.a.w.berkata:"Lipatkannya seperti dahulu. Keselesaan yang  bertambah itu akan menghalangkan Tahajjud."
Bilal  telah ditanya mengenai perbelanjaan Nabi Muhammad s.a.w. Dia  menjawab:"Baginda s.a.w tidak pernah menyimpan sesuatu untuk kegunaan  pada masa depan. Sayalah yang menguruskan wang bagi pihaknya. Apabila  datang seorang fakir yang sedang menderita kelaparan, orang itu akan  diserahkannya kepada saya. Saya pun akan memenuhi keperluan orang itu  dengan meminjamkan wang."
"  Pada suatu hari datang seorang mushrik lalu berkata: "Wang saya  terlampau banyak. Kalau kamu berkehendakkan wang datanglah berjumpa  dengan saya. Janganlah meminjam dari orang lain."
"Saya  berasa gembira dengan tawaran ini. Saya pun mulai meminjam wangnya  untuk memenuhi keperluan Nabi Muhammad s.a.w. Pada suatu hari selepas  mengambil wudhu, saya sedang bersiap-siap untuk berazan, tiba-tiba  datang orang mushrik itu diikuti oleh beberapa orang lain. Dia  memekik-mekik memanggil saya, apabila saya mendapatkannya, dia telah  mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap saya.
Katanya:  "Ada beberapa hari lagi dalam bulan ini?" Saya menjawab: "Bulan ini  hampir genap." Dengan marahnya dia berkata: "Ada empat hari lagi untuk  kamu menyelesaikan hutang-hutang kamu. Kalau kamu gagal menjelaskannya,  aku akan jadikan kamu hambaku  dan kamu terpaksa mengembala kambing  seperti dahulu." Kemudian dia pun meninggalkan saya. Saya merasa sangat  dukacita. Selepas sembahyang Isyak, apabila  Nabi Muhammad s.a.w. duduk  berseorangan, saya pun mendekati Baginda s.a.w.. Kata saya: "Ya  Rasulullah ,Tuan tidak mempunyai sesuatu apa pun dan saya pula tidak  dapat menguruskan pinjaman serta merta. Saya rasa si-mushrik itu akan  memalukan saya. Oleh itu saya akan pergi dari sini sehingga saya  mendapat wang untuk menjelaskan hutang saya itu."
Sekembali  saya kerumah, saya mengemaskan pedang, perisai dan kasut kepunyaan saya  kerana bersiap-siap untuk berpergian pada pagi esoknya. Hampir-hampir   waktu Subuh datang seorang utusan Nabi Muhammad s.a.w. sambil berkata:  "Lekas, Nabi Muhammad s.a.w. ingin berjumpa dengan engkau." Saya pun  segeralah berangkat kemasjid. Disana saya dapati empat ekor unta yang  sarat dengan bebanan. Kata Nabi Muhammad s.a.w.:"Ada berita gembira,  wahai Bilal. Allah s.w.t. telah meyampaikan pengurniaanNya untuk  menjelaskan hutangmu. Ambillah unta-unta ini serta muatan mereka.  Barang-barang ini telah dihantar kemari sebagai hadiah untuk ku oleh  puak Fidak." Saya mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. lalu  menjelaskan semua hutang saya. Apabila saya balik kemasjid saya berkata  kepada Nabi Muhammad s.a.w. :"Alhamdulillah, hutang saya telah pun  dijelaskan Ya Rasulullah " Baginda s.a.w. bertanya sama ada masih ada  yang tertinggal dan saya menjawab:"Ya Rasulullah," Baginda s.a.w.  meminta saya habiskannya dan Baginda s.a.w. mengatakan yang Baginda  s.a.w. tidak akan balik kerumah selagi barang tersebut masih ada."
Saya  pun pergilah untuk membahagi-bahagikan baki barang-barang yang masih  tinggal kepada fakir miskin. Selepas Isyak, Nabi Muhammad s.a.w.  bertanya kalau-kalau masih ada lagi barang-barang itu. Saya menjawab  mengatakan yang tidak ada lagi kerana terdapat ramai fakir miskin untuk  dibahagi-bahagikan barang-barang tersebut. Pada malam itu  Rasulullah  s.a.w. tidur dimasjid. Esoknya itu,selepas Isyak, Rasulullah s.a.w.  bertanya lagi tentang berang-barang itu.Saya berkata :"Ya, Allah telah  memberkati Tuan dengan ketenteraman jiwa. Semua barang-barang itu telah  saya habiskan. Nabi Muhammad s.a.w. pun memuji-muji Allah s.w.t. Pada  malam itu barulah Baginda s.a.w balik kerumah. Nabi Muhammad s.a.w.  tidak suka menghadapi maut selagi ada harta kekayaan ditangannya
Melalui  kisah – kisah Nabi SAW yang dipaparkan di sini, sudah jelas menunjukkan  kehidupan yang sempurna dan berkat yang harus diikuti dan di amalkan  adalah dari kehidupan Rasullullah SAW sendiri. Amalan yang mulia dapat  dinilai dan dilihat dari segala sudut dan aspek kehidupan. Moga  kehidupan kita sebagai khalifah di dunia ini akan sentiasa di berkati  dan di rahmati oleh yang Maha Kuasa Allah swt.